click...click...

HITS

Followers

Thursday, August 04, 2011

ARTIKEL MENGENAI BF KETIKA BERPUASA..




RAMAI ibu mengakui cabaran paling besar selepas melahirkan anak apabila terpaksa menyambung kerja dan pada masa sama, menyusukan bayi mereka.


>>Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Ada di antaranya mempunyai semangat tinggi ingin menyusukan anak secara eksklusif, tetapi akhirnya terpaksa menyerah kalah lantaran tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai teknik penyimpanan susu ibu, ada juga terpaksa mencampurkannya dengan susu formula kerana kekurangan susu.



Bagi Nurul Zafifah Mohd Sahri, 30, kejayaan menyusukan dua anak Muhammad Dhia’ul Hafeez Diauddin, 3, secara eksklusif selama dua tahun tiga bulan adalah pengalaman paling berharga. Apa yang menguatkan semangatnya adalah dorongan daripada suami, Diauddin Mustajid, 32, yang meminta supaya dia menyusukan anak sepenuhnya sejak mengandungkan Hafeez lagi.


“Ketika mengandungkan anak pertama saya langsung tidak terfikir untuk menyusukan bayi sepenuhnya, tetapi apabila suami meminta supaya memberikan susu ibu kepada anak, saya terus mendapatkan maklumat menerusi laman sesawang susuibu.com mengenai penyusuan dan penyimpanan susu ibu,” katanya.



Menurutnya, cabaran menyusukan anak bermula apabila dia mula bekerja dan tidak membuat simpanan susu yang banyak.



“Apabila bekerja saya hanya mampu mengumpul 10 botol saja dan ini memberi sedikit tekanan kerana perlu mengepam setiap hari bagi memastikan Hafeez mendapatkan susu ibu sepenuhnya apabila dihantar ke rumah pengasuh,” ujarnya.



Walaupun mengalami kekurangan susu, dia tidak berputus asa dan mencuba semua petua untuk memperbanyakkan susu seperti makan lobak putih, halba, pegaga dan multivitamin bagi menambah pengeluaran susu.



“Saya memperhebatkan aktiviti mengepam bukan saja di tempat kerja malah di rumah. Setiap tiga jam iaitu pada jam 12 malam, 3 pagi dan 6 pagi, saya mengepam susu bagi memastikan stok susu mencukupi. Alhamdulillah akhirnya dengan kesabaran dan tawakal kepada Allah saya dapat menyusukan Hafeez sepenuhnya,” katanya.



Berbeza dengan kelahiran anak kedua, Zahratul Sofea, Zafifah sudah membuat persediaan lengkap dengan membuat simpanan susu pada hari keempat kelahiran. Walaupun menyusu secara terus, dia tetap mengepam apabila anak tidur dan hasilnya pada hari pertama bekerja dia dapat mengumpul 40 botol stok susu yang disimpan di tempat simpanan sejuk beku.



Apabila mula bekerja, Zafifah meneruskan aktiviti mengepam di tempat kerja iaitu setiap tiga jam sekali. Lebih memudahkannya apabila ketuanya sangat memahami dan memberikan masa selama 15 hingga 20 minit untuk mengepam susu. Malah terdapat sebuah bilik yang dikhaskan untuk mengepam susu.



“Sekali pam saya memperoleh enam hingga lapan auns bersamaan 237 mililiter susu dan jumlah ini boleh diminum sebanyak dua kali,” katanya yang menyimpan susu di dalam beg sejuk beku sebelum dipindahkan ke dalam peti sejuk di rumah.



Untuk susu yang disimpan di dalam peti sejuk khas sejuk beku boleh tahan enam bulan, susu di dalam peti sejuk dua pintu tahan tiga bulan manakala satu pintu selama dua minggu saja.
Bagi memudahkannya mengenal pasti susu yang perlu dibawa ke rumah pengasuh, Zafifah membuat label pada setiap susu yang dimasukkan ke dalam beg plastik dan menulis di dalam buku.



“Saya membekalkan empat botol susu yang sudah dicairkan setiap hari ke rumah pengasuh bersama dengan alat pemanas. Ini bagi memudahkan pengasuh memberikan susu kepada Sofea apabila tiba waktunya. Tidak ramai pengasuh yang mahu mengendalikan proses memberikan susu ibu kepada anak jagaan mereka kerana berasa ia remeh dan menyusahkan.



“Oleh sebab itu saya perlu menerangkan kepada pengasuh dan memberikan peralatan lengkap supaya tidak menyusahkan mereka,” jelasnya yang juga Kaunselor Laktasi, Kaunselor Rakan Penyusuan Bayi Malaysia (MBPC).



Setakat ini, Zafifah tidak perlu risau kerana dia mempunyai simpanan susu ibu sebanyak 225 botol iaitu 1,043 auns bersamaan 30,845 mililiter susu yang cukup untuk keperluan Sofea sehingga dia mencecah setahun lebih. Tambah pula pada masa sekarang, Sofea sudah mula makan dan ini tidak merisaukan dirinya.



Namun begitu, Zafifah masih menjalankan rutin harian mengepam seperti biasa. Ini kerana dia percaya pada teknik penawaran dan permintaan yang bermaksud semakin banyak ibu mengepam bermakna semakin banyak susu dapat dihasilkan.



Jika ramai ibu bimbang dengan kehadiran Ramadan kerana akan mengalami kekurangan susu, tidak Zafifah kerana susunya lebih banyak daripada hari biasa. Ini kerana dia menyediakan makanan seimbang ketika berbuka dan bersahur serta memperbanyakkan minum susu dan makan kurma.



“Ketika Ramadan badan memerlukan lebih banyak air untuk menghasilkan pengeluaran susu. Justeru ketika berbuka dan bersahur, saya banyakkan minum air suam dan panas malah langsung tidak minum minuman berais.



“Saya juga makan makanan berkhasiat yang boleh memperbanyakkan susu. Di antara waktu berbuka sehingga bersahur saya akan pastikan makan roti, biskut atau makan kurma bagi memastikan bertenaga keesokan hari,” katanya yang menjalankan aktiviti mengepam seperti biasa sepanjang Ramadan.



Apa yang penting, setiap ibu harus mempunyai ilmu pengetahuan mengenai penyusuan susu ibu dan mempraktikkan apa yang dipelajari. Sekiranya mereka mempunyai matlamat untuk menyusukan anak sepenuhnya pasti setiap ibu akan berusaha untuk mencapai matlamat itu. Ini kerana penyusuan susu ibu mempunyai banyak faedah selain mengeratkan kasih sayang, anak yang disusukan sepenuhnya akan lebih bijak dan mempunyai antibodi yang kuat

6 comments:

zaidah said...

banyaknyer ayu dianyer stok susu...alhamdulillah...

ayu said...

zai : murah rezeki anak2 dia kan..

ajumohit said...

Wahhh byknya stok susu, murah rezeki

silverlady said...

mak aih...byk gile susu dia...tq ayu share psl ni

ayu said...

aju : tu la..best kan..

ayu said...

nadia : dia simpan stok dari awal2 lagi ni..