click...click...

HITS

Followers

Thursday, November 25, 2010

::Caj Rawatan DI Hospital Swasta Terlalu Mahal??::




Ramai akui bil rawatan, ubat hospital swasta mahal, melampau

KUALA LUMPUR: Orang ramai mengakui kadar caj rawatan dan ubat-ubatan yang dikenakan hospital swasta mahal, tidak munasabah dan melampau walaupun perkhidmatan yang diberikan tidak jauh berbeza dengan hospital kerajaan.

Ini berdasarkan pengalaman mereka selepas mendapatkan rawatan atau perkhidmatan kesihatan di hospital swasta dan menganggap tindakan operator hospital swasta itu membebankan pesakit.
Beberapa pembaca Berita Harian juga berpendapat ada hospital swasta mengambil kesempatan dengan mengeksploitasi jenama hospital dan doktor pakar yang bertugas di hospital berkenaan untuk mengenakan kadar caj yang tinggi kepada pesakit. Justeru, mereka meminta kerajaan mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini, termasuk memantau dan mengawal kadar caj serta kos perubatan yang dikenakan hospital swasta kepada pesakit.

Seorang pembaca dalam komennya menerusi laman web Berita Harian Online (www.bharian.com.my) semalam, menggesa Kementerian Kesihatan memantau operator hospital swasta yang `menjaja status pakar dengan tujuan menarik pesakit mendapatkan rawatan dan dikenakan caj yang mahal.

Hospital swasta kerap menggunakan status pakar untuk menaikkan caj perubatan, walhal doktor yang merawat adalah doktor sambilan dari hospital kerajaan. Saya harap kerajaan benar-benar serius kerana orang ramai memilih hospital swasta bukan kerana mereka ada duit banyak, tetapi mahukan keselesaan, cepat dan perkhidmatan berkualiti, kata pembaca yang menggunakan nama Ali Abi Talib.

Doreyfien Yohanes pula menyokong jika kerajaan mengambil tindakan terhadap hospital swasta yang menjual ubat tidak diperlukan pesakit kerana ia menyebabkan kos yang perlu dibayar pesakit meningkat.
Pembaca yang menggelarkan dirinya Pak Cik Din pula berkata, kementerian perlu memantau
hospital swasta terutama pemberian ubat kerana pesakit biasanya tidak mengetahui jenis ubat yang mereka perlukan untuk rawatan penyakit yang dihidapi.

Apa yang diberi hospital itulah yang diambil. Harga ubat dan kos rawatan pun pesakit tidak tahu. Mereka terpaksa melunaskan bil yang dikenakan hospital swasta, katanya.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian mendapati orang ramai berpendapat tidak semua pesakit mampu menampung caj hospital swasta, namun tidak mempunyai pilihan kerana tidak sanggup menunggu lama bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Mereka mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana lebih mementingkan kualiti perkhidmatan berikutan sukar memperoleh perkhidmatan rawatan dalam kadar segera di hospital kerajaan.

Pesara, Murtapiah Ahmad Subari, 60, berkata beliau menghantar ahli keluarganya menjalani rawatan di hospital swasta kerana tidak mahu menunggu giliran terlalu lama di hospital kerajaan.

Tidak semua pesakit mampu menampung caj hospital swasta, namun mereka tidak mempunyai pilihan kerana tidak sanggup menunggu lama bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, katanya.

Bagaimanapun, pekerja swasta, Mohd Hasrul Hamidan, 23, berpendapat tidak salah mendapatkan rawatan di hospital swasta jika mempunyai sumber kewangan atau berpendapatan tinggi.

Caj perkhidmatan rawatan di hospital swasta walaupun mahal tetapi setimpal dengan mutu rawatan yang diberikan. Persepsi gagal membayar caj yang dikenakan tidak wajar kerana pesakit dibenarkan berunding dan berhak mengemukakan pertanyaan mengenai jumlah yang dimaklumkan doktor sebelum menjalani rawatan di mana-mana hospital swasta, katanya.