click...click...

HITS

Followers

Thursday, August 26, 2010

:::SOLAT SAMBIL DUKUNG BABY:::

CARA MENGENDONG BAYI KETIKA SOLAT
  • adalah baik sebelum itu, bayi yang mahu dikendong terlebih dahulu dibersihkan daripada segala najis (maknanya, tukarkan dahulu dengan lampin @ pampers yang bersih)
  • memulakan niat solat seperti biasa sambil mengendong bayi
  • tangan tidak perlu diangkat ketika takbir dah tidak perlu diletakkan di atas dada, kerana hukum mengangkat tangan dan meletakkannya di atas dada hanyalah sunat
  • bacalah apa sahaja yang perlu dibaca dalam keadaan berdiri
  • lalu rukuk dengan tangan memegang erat bayi tersebut, tidak perlu meletakkan tangan di atas lutut kalau tidak dapat melakukannya
  • semasa mahu sujud, letakkan bayi itu dan kemudian dikendong kembali apabila mahu bangkit ke rakaat seterusnya
  • laksanakan seperti itu hingga solat selesai

Friday, August 20, 2010

~SUSU IBU TIDAK AKAN KERING~


SUMBER : KOSMO ONLINE



Susu ibu tidak akan kering




Oleh NURUL IZZA ROSLY



UMUM mengetahui mengenai kebaikan susu ibu yang mengandungi antibodi melindungi bayi daripada serangan penyakit. Jika beberapa tahun lalu, menyusu badan tidak dilihat sebagai trend, kini kian ramai para ibu cenderung mempraktikkannya demi kelestarian kesihatan si kecil.

Tidak timbul lagi soal malu atau segan menyusukan anak di khalayak ramai, walaupun ada mata-mata nakal mencuri pandang.

Namun, bagi ibu yang menyusukan bayi buat pertama kali kedatangan bulan Ramadan menimbulkan sedikit kegusaran kerana khuatir pengeluaran susu berkurangan malah, mungkin tiada susu yang dapat dikeluarkan kerana menjalani ibadah puasa.

"Memang ada segelintir ibu yang berasa bimbang jika tidak dapat menghasilkan susu badan sebanyak seperti hari-hari biasa.

Tetapi sebenarnya, para ibu tidak perlu gusar kerana penghasilan susu akan tetap sama jika aktiviti pengurusan penyusuan ibu itu dijalankan seperti normal dan ia menjadi amalan berterusan," kata Zatul Hijanah Ramzi.

Elak tertekan

Menurut Zatul Hijanah yang merupakan Kaunselor Laktasi Malaysian Breastfeeding Peer Counselor (MBfPC), tanggapan sesetengah ibu mengenai susu badan akan kering ketika berpuasa adalah tidak benar.

"Walaupun kita tidak makan dan minum pada siang hari, ia tidak bermakna ibu tidak dapat menghasilkan susu yang mencukupi untuk keperluan bayi," ujarnya.

Terang beliau, ini kerana ibu masih lagi mengambil makanan dan minuman pada waktu malam iaitu selepas berbuka dan sehingga waktu Imsak.

Bagaimanapun, tegas Zatul Hijanah, seseorang ibu tidak seharusnya mengelakkan atau mengambil mudah amalan bersahur kerana ia adalah bekalan tenaga dan air untuk tubuh ibu sepanjang hari.

"Seseorang ibu seharusnya meminum air yang mencukupi selepas berbuka sehingga waktu Imsak. Sekiranya tidak bersahur dan kekurangan air, tubuh ibu akan mengalami dehidrasi yang boleh menjadi penyebab kepada kurangnya penghasilan susu," jelas beliau.

Bagaimanapun katanya, wanita tidak seharusnya terlalu memikirkan mengenai ibadah puasa yang akan menyebabkan mereka kekeringan susu kerana kebimbangan melampau sehingga menyebabkan stres yang sebenarnya boleh mendorong kepada kemerosotan kuantiti susu badan.

Jelas beliau penghasilan susu boleh merosot bukan disebabkan ibadah berpuasa, sebaliknya kerana stres yang dialami oleh ibu sehingga menghalang refleks ejeksi susu atau let down. Oleh itu, ibu perlu bertenang dan menjalani rutin harian seperti biasa.

Jangan putus asa

Malangnya bagi ibu yang beranggapan susu akan berkurangan sewaktu berpuasa, akan mula ragu-ragu dengan kebolehan mereka untuk terus membekal dan menghasilkan kuantiti susu yang banyak.

Disebabkan tanggapan itu, ada ibu yang mula berputus asa apabila melihat kuantiti susu agak berkurangan pada hari pertama berpuasa sehingga menyebabkan mereka mula mengurangkan aktiviti mengepam susu badan. Malah, ada ibu yang berhenti terus daripada berbuat demikian. Jika anda mengambil tindakan seperti itu, maka penghasilan susu akan semakin berkurangan kerana kurangnya permintaan.

"Badan kita ini unik kerana dalam proses penyusuan sebenarnya faktor dan konsep 'permintaan dan penawaran' adalah amat penting.

"Semasa proses penyusuan, hormon-hormon seperti prolaktin dan oksitosin akan terlibat. Prolaktin adalah hormon yang menghasilkan susu dan oksitosin pula merupakan hormon yang merembeskan keluar susu ibu. Namun begitu, terdapat satu lagi faktor yang berkait rapat dengan konsep permintaan dan penawaran tadi. Hormon yang dimaksudkan ialah Feedback Inhibitor Of Lactation (FIL) yang juga merupakan sejenis protein yang terdapat dalam susu yang berkumpul dalam payu dara ibu," jelasnya.

FIL memberi tindak balas secara negatif kepada proses penghasilan susu. Apa yang dimaksudkan dengan tindak balas negatif tersebut?

FIL akan mula berkumpul dalam payu dara apabila kurangnya rangsangan dan payu dara tidak dikosongkan dengan betul (hanya sedikit susu yang dikeluarkan daripada payu dara). Tidak kiralah sama ada kekurangan rangsangan itu daripada kurangnya hisapan oleh bayi atau pun kurangnya aktiviti mengepam keluar susu sewaktu bayi tidak bersama ibu.

Tahap FIL yang tinggi ini akan mula memberikan isyarat agar penghasilan susu perlu dikurangkan kerana kurangnya permintaan.

"Ia akan menjadi sebaliknya pula jika payu dara sering dikosongkan. Peratusan FIL dalam payu dara akan menjadi rendah dan seterusnya menghantar isyarat supaya lebih banyak susu perlu dihasilkan oleh ibu.

"Oleh itu, susukan bayi dengan kerap dan bagi ibu yang bekerjaya atau pun yang berjauhan dengan bayi pula, jangan lupa untuk mengepam susu pada setiap dua jam atau tiga jam sekali," jelasnya.

Terang beliau, kaum ibu juga tidak perlu bimbang mengenai zat dan nutrien dalam susu badan sepanjang bulan Ramadan.

Berlatih sejak Syaaban

Sementara itu, wanita yang bakal menimang cahaya mata kelima, Kartina Md. Khalid, 37, memberitahu, pengalaman menyusukan bayi pada bulan Ramadan adalah agak sukar dan mencabar kerana badan mudah menjadi letih.

"Apa yang saya lakukan adalah mengambil makanan yang seimbang dan mengatur program pemakanan sendiri. Apabila bekerja, saya akan mengepam susu untuk anak saya.

"Pada dua minggu terakhir Syaaban, saya melatih diri saya supaya kurangkan makan tengah hari dan dalam masa yang sama mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran," katanya yang merupakan penterjemah dan penyunting sambilan.

Tambahnya, menyusukan anak lelaki lebih mencabar dan ibu memerlukan lebih banyak tenaga. Untuk itu si ibu perlu makan nasi yang banyak ketika bersahur manakala bagi anak perempuan pula, si ibu boleh mengurangkan pengambilan nasi tetapi melebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Para ibu tidak perlu risau kerana susu badan sentiasa ada. Ibu perlu mencari rentak badan sendiri. Pada awal Ramadan memang meletihkan terutamanya pada tiga hari pertama berpuasa.

"Kita akan lihat perbezaan kuantiti dan kualiti pada bulan puasa. Apa yang perlu dilakukan adalah ubah corak pemakanan dengan minum lebih banyak air dan pam susu dengan lebih kerap," ujarnya.


Thursday, August 19, 2010

:::SUSU FORMULA YANG TERBAIK UNTUK BAYI???:::


Salam,



tertarik baca thread REASONS WHY I HAD TO RESORT TO FORMULA yang terdapat di website MBFPC membuatkan ayu ingin share dengan rakan2 sekalian mengenai isu2 yang dihadapi oleh ibu2 muda sampai mereka terpaksa beri susu formula kepada anak2 mereka. antara isu yang sering dihadapi ialah :
  • susu tak cukup
  • menyusu badan sangat penat (kena mengempeng je --->nanti baby manja)
  • susu formula yang "MAHAL" lagi banyak khasiat
  • susah nak buat kerja2 lain di rumah kalau asyik melekat dengan baby je
  • nanti dah masuk kerja susah la nak pam2 ni
  • hadapi masalah kewangan nak beli breastpump @ alat2 menyusu (cooler bag & sebagainya)
  • iklan mengenai susu formula lagi hebat berbanding dengan susu badan
Bila baca plak komen2 dari ramai para ibu di Fan Page Pa & Ma ni mengenai SUSU FORMULA YANG TERBAIK DARI BAYI, tertarik dengan kata2 yang ditulis oleh 2 orang PC, iaitu Suhaili & Kak Zatul...antara kata2 yang menarik itu ialah :
Di negara pengeluar susu formula sendiri, susu formula tak dijual secara meluas macam di negara kita. Di negara itu sendiri, mereka tidak boleh mengiklankan susu formula secara KETERLALUAN seperti di negara kita. Di sana, kebanyakan ibu memberikan susu badan. Bukan seperti di negara kita ~ Suhaili
Sebahagian nutrien yang ada dalam susu ibu tetapi tidak dapat ditiru dan sudah tentu tiada dalam susu formula memandangkan ibu2 semua mencari susu apa yang terbaik untuk anak anda. Antaranya ialah :
1- Antibodi
2- Hormon
3- Anti Virus
4- Growth Factor (Faktor Pertumbuhan)
5- Enzim
6- Anti Parasit
7- Anti Alergi
dan banyak lagi. Dalam susu ibu ada lebih 400 nutrien dan akan bertambah jumlahnya bila kajian demi kajian dibuat. DHA, AA, Vitamin A, B, C, D, K, Protien, Lemak, Karbohidrat, Mineral, Air, Probiotic, Prebiotic dan lain2 semua ada dalam susu ibu ~ Kak Zatul Hijanah

Wednesday, August 18, 2010

~BENGKAK SUSU ~


SUMBER : SUSUANIBU


BENGKAK SUSU

Masalah bengkak susu akan berkurangan jika ibu menyusu sendiri bayi sejak lahir. Bengkak susu boleh dielak dan senang diurus.

Simpton
  • payu dara - nampak berkilat, sakit, tegang dan keras, rasa agak panas bila dipegang.

  • Puting - leper, bengkak atau merekah.

  • Bayi - sukar menyusu, hisapan kurang efektif kerana pengaliran susu yang tidak lancar, Susu tidak keluar

  • Let-down - mungkin rasa sakit

  • Ibu - mungkin demam
Punca
Faktor penyusuan
  • jarang menyusu

  • mengehadkan masa menyusu atau penyusuan yang terlalu singkat

  • tidak menyusu waktu malam

  • tidak rapat dengan ibu/bayi

  • hisapan kurang efektif

  • bercerai susu

  • beri anak minuman lain pada awal kelahirannya
Faktor hubungan
  • ibu - tekanan

  • psikologi - muda, tidak mendapat sokongan, takut, letih, enggan menyusu ditolak oleh bayi.

  • rutin hospital - memisah ibu dan anak, lewat dan mengehadkan penyusuan ibu, pemberian susu formula (prelacteal feeds).
Masalah pengeluaran oksitoksin
  • Hubungan dengan bayi - sukar menyusu kerana tidak normal, masalah cara hisapan

  • Sakit - Tidak cukup bulan, Guna botol susu atau puting kosong
Rawatan yang relevan
  • perbetulkan posisi dan kemesraan dakapan

  • galak penyusuan yang lebih kerap dan tanpa had malam dan siang (sekurang-kurangnya 8 - 12 kali termasuk dua kali di sebelah malam ) dan memerah susu ibu jika berpisah sekurang-kurangnya 6 kali sehari dan sekali pada waktu malam

  • galak ibu mengejutkan bayi yang sedang tidur untuk menyusu sekurang-kurangnya tiga jam sekali

  • guna analgesik bagi jangka masa yang singkat jika ibu berasa sakit

  • ubati puting yang bengkak dan merekah
Pengurusan yang terbaik ialah mencegah & memberi Cadangan Yang Praktikal
  • rangsangan pengeluaran oksitoksin dan let-down, demah payu dara sebelum menyusu dan urut payu dara dan puting perlahan-lahan.

  • Cadangkan kepada ibu berkenaan supaya meminta suami atau sesiapa untuk mengurut bahagian tengkoknya sebelum menyusu.

  • Cadangkan teknik releks yang sesuai untuk si ibu.

  • Perah susu secukupnya sebelum menyusukan bayi bagi melembutkan areola dan bayi dapat didakap lebih rapat.

  • Mulakan menyusu sebaik saja rasa payu dara penuh.

  • Biarkan bayi habis menyusu di payu dara pertama sebelum tukar kepada payu dara kedua

  • Demah dengan air sejuk selepas menyusu untuk keselesaan mengurangkan masalah vaskular bengkak dan kembang.

  • Perah sedikit susu ibu di antara waktu menyusu untuk keselesaan

  • Jika berlaku bengkak susu, si ibu perlu lebih bantuan untuk perbetul posisi menyusu dan pengaliran susu.

  • Bengkak susu yang tidak dirawat boleh menyebabkan masalah penyusuan, laktasi menekan dan boleh menyebabkan berlakunya komplikasi lain seperti saluran susu tersumbat, mastitis dan breast abscess. (dua perkara yang juga hampir2 sama dgn bengkak susu)
Ayu nak share apa yang ayu akan buat bila dah mula rasa simpton2 di atas yeah :
  • boleh letakkan ice pack di tempat yang sakit- utk melegakan kesakitan..ni utk sementara je ye

  • tuam ngan air panas - caranya adalah dengan letak air panas dalam botol air @ botol susu n golek2kan kat bahagian yang ada ketulan @ bengkak tersebut..

  • mandi dengan air panas - sambil tu urut2 kat tempat yang bengkak

  • ubah cara posisi penyusuan anda...
  • cara yang paling efektif adalah dengan mengurut2 & juga memerah di tempat yang bengkak @ ketulan sampai la dah berkurang ketulan tersebut.

  • kalau rasa 4 cara di atas tidak juga berkesan, sila la berjumpa dengan doc utk mendapatkan rawatan ye..CEGAH SEBELUM PARAH
Ni ada 2 link yang ayu nak share mengenai BENGKAK SUSU:

Tuesday, August 17, 2010

:::TEKNIK MARMET @ perah dengan menggunakan tangan:::

SUMBER : kak NIEZA

Memerah dengan tangan
  1. memerah dengan tangan adalah pilihan terbaik jika perlu memerah susu pada hari 1-3 selepas kelahiran

  2. basuh tangan dengan bersih sebelum memerah

  3. sediakan bekas yang bersih dan steril

  4. lakukan pemerahan di tempat yang bersih, tenang dan selesa

  5. boleh dilakukan dalam keadaan duduk atau berdiri dalam keadaan yang selesa

  6. buat sedikit urutan pada payudara dan rangsang/gentel puting payudara untuk memberi rangsangan (refleks oksitosin atau let-down reflex)

  7. melihat gambar bayi juga boleh membantu menghasilkan refleks

  8. tuam panas payudara beberapa ketika juga boleh membantu menghasilkan refleks penghasilan susu

  9. buat pegangan “C” pada payudara, letakkan ibu jari di sebelah atas payudara berdekatan areola manakala jari telunjuk di bahagian bawah (utara dan selatan)

  10. tekan payudara ke belakang ke arah dada

  11. perah/picit dengan lembut menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, picit selama 2 saat dan lepaskan

  12. teruskan memicit sehingga susu keluar

  13. perah ke dalam bekas yang bersih dan steril

  14. buat berulang kali sehingga tiada lagi susu keluar

  15. tukar posisi jari ke bahagian lain mengikut pusingan semua bahagian payudara (timur-barat, tenggara-barat laut, barat daya-timur laut)

  16. ulang proses memerah sehingga tiada lagi titisan susu

  17. tukar ke payudara yang satu lagi

  18. urut kedua-dua payudara dan mulakan sekali lagi

  19. perah setiap payudara 5-10 minit secara bergilir

  20. setelah selesai memerah, sapukan beberapa titik susu ke atas puting dan keringkan puting payudara
BILA BOLEH GUNA TEKNIK MARMET
  • ketika awal2 kelahiran bayi (ayu dulu mula2 perah dgn tangan juga..lepas dah lama2 sikit baru la guna breastpump)
  • ketika terlupa membawa aksesori breastpump di pejabat (cth:breastshield utk Spectra3) ----> tak perlu risau, boleh perah dengan tangan
  • ketika mengalami kelukaan (cth : macam diri ayu sekarang ni, mmg guna tangan je since bila guna bp ni lagi memburukkan keadaan ----> lagipun senang sikit, pergi ke ofis tak perlu la usung dah beg S3 ni, bawa handbag + cooler bag je)
  • ketika keluar kemana2 tanpa membawa bayi (cth : ketika pergi shopping tak bawa baby, mcm baru2 ni pergi sogo members day, juz bawa botol + nursing cover je, cooler beg mmg letak dalam kereta...time solat boleh perah & hasil perahan tu simpan dalam botol yang boleh tahan dengan suhu luar bilik selama 4 jam ye kawan2 sekalian...)

Friday, August 13, 2010

Wanita Menyusukan Anak Berpuasa (Breastfeeding)

SUMBER : FIQHMEDIC

Soalan : Assalamu’alaikum, Saya nak bertanya tentang rukhsah untuk wanita berpuasa. Sesetengah orang seolah tidak bersetuju jika wanita yang menyusukan anak berbuka puasa kerana supply susu badan (yang diperah) tidak mencukupi untuk bayi kerana letih berpuasa.



Satu lagi, apakah yang dikatakan mudarat bagi wanita menyusukan anak ini? Adakah BP rendah, tak cukup susu, letih yg teramat, menggigil dikira sebagai mudarat yang membolehkan rukhsah? Adakah benar tindakan ibu-ibu ini dari segi hukum rukhsahnya?


Terima kasih.

Jawapan oleh Abul Harith:



Wassalam & terima kasih Team Ratuhati.com.

Mengenai rukhsah untuk wanita hamil yang menyusukan anak berbuka puasa, ianya telah pun jelas melalui hadith artikel di bawah.

Ia dibenarkan andai dikhuatiri kesihatan ibu dan bayi terjejas kerana itu. Dari pengamatan saya, terdapat beberapa keadaan di mana puasa memberi kesan kepada wanita tersebut.
  • Pertama ialah dehidrasi. Antara komplikasi utama yang membolehkan wanita menyusukan anak berbuka puasa adalah dehidrasi atau kekurangan air dalam badan. Tanda-tanda yang puan nyatakan seperti tekanan darah rendah, letih, menggigil, rasa loya, pening-pening dan rasa haus yang teruk adalah berpunca dari dehidrasi. Apabila terdapat gejala sebegini, maka dibenarkan berbuka.Kekurangan susu pula adalah akibat dari dehidrasi yang teruk. Namun, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan puasa di bulan Ramadhan tidak membawa kepada dehidrasi kepada ibu yang menyusukan anak. Kecuali apabila si ibu kurang menitik beratkan amalan sahur dan tidak meminum air yang cukup dalam selang waktu yang lama sebelum berpuasa.
  • Kedua ialah si ibu pengidap diabetes. Puasa boleh menjadi risiko kepada golongan ini. Diabetes mellitus menyebabkan kandungan gula dalam darah tinggi (hypeglycemia) sehingga menyebabkan rasa haus yang teruk dan kehilangan air melalui kencing yang kerap. Ia akan membawa kepada dehidrasi seperti yang telah diterangkan. Maka diharuskan baginya berbuka.
  • Ketiga adalah ibu yang mengandung pada usia lewat. Golongan ini kebiasaannya dikaitkan dengan penyakit yang mungkin apabila usia telah meningkat. Masalah lain adalah ketidakseimbangan fungsi badan untuk mengawal glukos dalam darah. Ia akan membawa kepada haus dan lapar yang tiba-tiba (accelerated starvation).
  • Punca kurang susu ibu. Jika menurut kajian di atas, punca kekurangan susu tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan puasa kecuali berlakunya dehidrasi. Dalam banyak keaadaan, kerisauan ibu yang takut letih & kekeringan susu menyebabkan mereka kurang menyusukan bayi mereka semasa puasa. Kurangnya rangsangan kepada payudara membawa kepada kurangnya susu.
Ini kerana konsep utama breastfeeding ini adalah demand and supply. Lagi banyak demand, lagi banyak supply yg dihasilkan. Badan kita memahami demand untuk menyusu ini bila bayi kerap menyusu (8-12 kali sehari semalam). Inilah satu-satunya cara secara fisiologi (fitrah fungsi badan) yang paling penting untuk memastikan penghasilan susu yang berterusan.
Di samping hormon prolaktin (berfungsi untuk membuat/menghasilkan susu) dan oksitosin (berfungsi untuk mengeluarkan susu dari payudara), terdapat satu lagi substance penting yang dinamakan Feedback Inhibitor of Lactation (FIL).

FIL adalah sejenis protein yg terdapat di dalam susu yg berkumpul di payudara ibu itu. Ia memberi negative feedback kepada proses penghasilan susu tu. Jika banyak susu tidak dikeluarkan dari payudara (sebab kurang penyusuan dari bayi/kurang diperah keluar), maka banyaklah FIL ini berkumpul dalam payudara. Level FIL yang tinggi ni akan memberi signal supaya kurang susu dihasilkan (negative feedback). Jika perkara ini dibiarkan berterusan, maka lama kelamaan payudara itu akan mengecil.

Sebaliknya, jika susu sentiasa dikeluarkan dari payudara (bayi kerap menyusu / kerap diperah keluar), maka kurang FIL dalam payudara. Level FIL yang rendah ini akan memberi signal supaya lebih banyak susu dihasilkan. Maka, penyusuan berterusan samada puasa ataupun tidak amat penting supaya payudara tidak terputus menghasilkan susu.
Kajian tentang puasa dan penyusuan susu ibu.Satu kajian dilakukan ke atas wanita Afrika berkenaan hubungan puasa dan breastfeeding mendapati isipadu susu yang dihasilkan tidak terjejas sewaktu puasa. Dan sebanyak 90% wanita Afrika yang hamil dan menyusu akan berpuasa semasa Ramadan. Kajian dari Universiti Colorado juga menegaskan puasa tidak memberi kesan kepada penghasilan susu dari segi isipadu dan kepekatannya.

“Metabolic consequences of fasting during Ramadan in pregnant and lactating women.”


“Effects of fasting, elevated plasma glucose and plasma insulin concentrations on milk secretion in women.”


Manakala, kajian oleh Universiti Ankara di Turki merumuskan bahawa kekurangan penghasilan susu dan kesan-kesan lain semasa puasa lebih merupakan kepercayaan tersendiri si ibu. Bimbingan agama dan teknikal amat diperlukan untuk membantu golongan ini.

“Fasting by breastfeeding mothers of infants is common during Ramadan, and rates are affected by beliefs of mothers on the effects of fasting on breastfeeding. We believe that child health care providers need to be knowledgeable about religious and cultural phenomena, study the effects of Ramadan fasting and form links with Islamic teachings to find religiously and culturally appropriate methods to combat the possible unfavourable effects for infants and children.”

Attitudes and practices of breastfeeding mothers regarding fasting in Ramadan.http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11737021?dopt=Abstract

Syor mengikut rukhsah. Maka, dalam hal ini, rukhsah telah pun diberi. Tiada halangan untuk si ibu berbuka jika risau mudarat kepada dirinya dan bayinya. Jika dia berkeyakinan untuk terus berpuasa tanpa masalah, tiada halangan juga baginya. Isu ini sama seperti rukhsah yang diberikan kepada musafir yakni pemandu bas atau kereta. Tiada faedah baginya berpuasa andai puasa menyebabkannya letih sehingga membahayakan penumpang yang terdiri dari keluarganya yang tersayang.

Syor bagi ibu yang masih risaukan kesan menyusu tapi mahu berpuasa. Golongan ini boleh cuba kaedah breastpump pada sebelah malam dan menyimpan susu tersebut untuk keperluan bayi keesokan hari. Jika masih tidak mampu atau tidak mencukupi, berbuka puasa lebih baik untuknya.

Pandangan serong masyarakat terhadap golongan ibu yang berbuka kerana menyusu tidak dapat dielakkan kerana mereka kurang maklumat. Ia memerlukan masa untuk masyarakat diterangkan dan memahami isu ini. Adalah menjadi anjuran agama untuk si ibu menyusukan anaknya selama dua tahun, dan ia merupakan tugas mulia baginya.

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ
أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ} (14) سورة لقمان

“Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-KU dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-KU-lah kembalimu.”
WaLLAHu A’lam. Wassalam.

RENUNG2KAN, SELAMAT MENERUSKAN PENYUSUAN SUSU IBU SERTA SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA

Wednesday, August 04, 2010

Kenapa Statistik Ibu Menyusukan Bayi Tidak Meningkat Begitu Banyak???


Merujuk kepada entry SUSU IBU TIDAK DIHARGAI, satu kajian telah dibuat sehingga ke bulan Julai tahun ni, didapati rekod budaya Penyusuan Susu Ibu mencatatkan hanya 14% bagi kaum ibu di Wilayah Persekutuan yang memberi susu badan kepada bayi mereka dalam tempoh 6 bulan pertama kelahiran. Walaupun ia meningkat berbanding 12% pada tahun 2007, 2008 dan 2009, namun ia tetap masih belum boleh dibanggakan.

Agak pelik + hairan la juga kan..kalau la kita lihat di Forum SusuIbu.com, jumlah ahli baru boleh dikatakan makin ramai..malah, kalau pergi ke SGM pun, dapat jumpa ramai ibu2 baru yang menyusukan bayi mereka..Namun, kenapa ye masih lagi tidak meningkat banyak????
Sekiranya anda semua membaca surat khabar utusan semalam ye, sebenarnya ada lagi artikel mengenai Penyusuan Susu Ibu ni, yang bertajuk " Khasiat Susu Ibu". ayu cuba buat kesimpulan hasil pembacaan ayu ye.

Menurut Bekas Ketua Jururawat Hospital Pusrawi yang juga ahli Persatuan Penasihat Penyusuan Ibu Malaysia (PPIM), Marjinah Badli berkata, perkataan Breast yang diambil daripada ayat Breast Feeding atau Penyusuan Badan dalam bahasa Melayunya itu sendiri membawa maksud penting bagi setiap huruf...
  • B - Bounding (pengikatan) ~ yang bermaksud detik penyusuan badan ibu mampu merapatkan hubungan ibu dan anak
  • R - Reliable (Boleh dipercayai) ~ iaitu susu ibu terbukti makanan bayi yang boleh dipercayai utk kesihatannya
  • E - Ekonomic (Ekonomi) ~ kerana ianya percuma dan menjimatkan bajet pembelian susu tepung yang mana jika dikira, belanja seseorang ibu bapa untuk membeli susu tepung dan kelengkapan makanan bayi selama enam bulan bersamaan dengan yuran setahun universiti.
  • A - Acceptable (Boleh Diterima) ~ kerana rasanya mampu diterima bayi
  • S - Sensitive (Sensitif) ~ yang bermaksud bayi akan bertindak balas menerima semua khasiat makanan dalam tubuh ibu melalui susu badan
  • T - Temperature (Suhu) ~ suhunya tidak panas atau sejuk yang sesuai untuk bayi
Penyusuan Susu Badan yang diberikan oleh ibu mampu :
  • membuatkan sistem imunisasi badan bayi kuat
  • kurang medapat serangan penyakit
  • lebih bijak
  • gigi terbentuk cantik dan membantu menyediakan gusi untuk menerima 32 batang gigi apabila dewasa
Manakala, bagi ibu pula , melalui Penyusuan Susu Badan dapat :
  • mengurangkan pendarahan selepas bersalin
  • membantu mengecutkan rahim dengan lebih cepat
  • mengurangkan lemak yang terkumpul
  • membantu ibu mengembalikan berat badan asal dan kelihatan ramping
Banyak kan khasiat Susu Ibu ni..bukan sahaja untuk bayi, malah untuk ibu pun ada.. Namun, kenapa ye masih ramai lagi yang tidak menyedarinya?? adakah disebabkan kita selalu didedahkan dengan iklan susu formula di TV atau di pasaran?? atau , masih beranggapan susu badan ni hanya untuk suri rumah sahaja dan bukan untuk ibu yang berkejaya?? apa kata anda semua?

Tuesday, August 03, 2010

:::SUSU IBU TIDAK DIHARGAI:::



Susu ibu, anugerah dari Tuhan untuk anak yang mempunyai pelbagai khasiat. Ia diperlukan bagi melengkapkan tumbesaran seseorang bayi. Setakat Julai ini, rekod budaya penyusuan ibu mencatatkan hanya 14 peratus bagi kaum ibu di Wilayah Persekutuan memberikan susu badan kepada bayi mereka dalam tempoh enam bulan pertama kelahiran
.
Walaupun rekod itu sedikit meningkat berbanding hanya 12 peratus pada 2007, 2008 dan 2009 di negeri sama, namun ia masih belum membanggakan.

Lebih tepat, statistik itu menyedihkan seolah-olah kebanyakan ibu tidak menghargai anugerah Tuhan itu kepada kaum ibu terutama ibu muda zaman ini.

Justeru, sempena Minggu Penyusuan Ibu Sedunia pada 1 hingga 7 Ogos ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Penasihat Penyusuan Ibu Malaysia (PPPIM), akan membantu memupuk kesedaran dan pengetahuan di kalangan ibu yang mempunyai bayi supaya aktif memberikan susu badan.

Misinya untuk menggalakkan budaya penyusuan badan supaya ia mampu melahirkan generasi lebih sihat pada masa depan.

Seorang ahli PPPIM yang juga bekas Ketua Jururawat Hospital Pusrawi, Marjinah Badli berkata, pada zaman moden ini, budaya memberi susu badan kepada bayi sering 'dipandang sebelah mata' di kalangan ibu yang baru melahirkan anak.

Katanya, hasil kajian yang dijalankan PPPIM menunjukkan kurangnya kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan atau kelebihan susu ibu adalah faktor utama mengapa seseorang tidak aktif memberikan susu badan.

Marjinah berkata, ada yang enggan memberikan susu badan kerana tidak tahan dengan cabaran seperti rasa sakit apabila menyusukan bayi dan tiada masa akibat terlalu sibuk menjalankan rutin seharian.

"Segelintirnya pula terutama di kalangan ibu muda merasa malu untuk memberikan anak mereka susu badan lebih-lebih lagi ketika berada di luar rumah.

"Kebanyakan klinik swasta, tempat kelahiran bayi, akan memberi promosi susu tepung bayi secara percuma untuk tempoh tiga hingga enam bulan.

"Semua ini menyebabkan ibu lebih selesa dan tertarik untuk memberikan susu tepung kepada bayi mereka walaupun susu ibu adalah imunisasi pertama paling penting yang seharusnya diterima tubuh bayi selepas dilahirkan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut Marjinah, bagi menggalakkan penyusuan badan, PPPIM pada tahun ini menggunakan pendekatan baru dengan memberikan khidmat nasihat dalam soal menyebarkan maklumat mengenainya.

Jelasnya, pada tahun sebelum ini, PPPIM sering menganjurkan acara di beberapa kawasan sasaran seperti di Putrajaya untuk menghebahkan maklumat berhubung kebaikan penyusuan badan kepada masyarakat.

Pendekatan PPPIM pada tahun ini adalah menghantar ahlinya yang terlatih untuk menyertai acara yang dianjurkan pusat perubatan dan hospital kerajaan serta swasta bagi mendidik pegawai perubatan di situ mengenai soal penyusuan badan.

"Didikan kami termasuk kepentingan susu ibu, cara betul menyusu serta faedah kepada ibu dan anak.

"Ada pakar dan doktor perubatan yang mengemukakan banyak persoalan kepada kami mengenai kebaikan sebenar penyusuan ibu kerana selama ini mereka tidak mengetahuinya.

"Harapan kami, dengan usaha yang kami jalankan tahun ini, ilmu itu dapat dikongsi bersama ibu yang melahirkan anak sekali gus menggalakkan lebih ramai yang aktif memberi susu badan," katanya.

Selain itu, Marjinah menasihatkan kaum ibu yang mempunyai bayi untuk turut bersama-sama menjayakan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia bagi menggalakkan budaya berkenaan dalam masyarakat negara ini.

"Bagi saya, dengan segala kemudahan dan kelengkapan termasuk sudut penyusuan ibu di pusat membeli-belah, pam susu badan serta baju khas untuk ibu menyusukan badan yang ada ketika ini, tiada alasan kepada seseorang untuk tidak memberikan susu badan kepada bayi mereka," ujarnya.

Monday, August 02, 2010

~Kekal CANTIK walau menyusu???~ siapa yang tak suka kan??

Eh, tak malukah?” tanya seorang teman. Dia bertanya begitu ketika membelek-belek album gambar saya yang sedang menyusukan bayi di kawasan tempat duduk kompleks membeli-belah. Mungkin gambar menyusu di tempat duduk kawasan orang lalu-lalang itu sedikit membuatkan dia rasa tidak selesa.

Dengan selamba saya menjawab; “Mengapa pula perlu malu? Rasa bangga adalah.”

Entah apa sebabnya, menyusu bayi bagi kebanyakan ibu kini menjadi antara perkara yang memalukan mereka. Lebih mengecewakan, ada yang menganggap menyusu di khalayak kelihatan selekeh, tidak cantik dan kolot.

Menyusu terlalu lama (sehingga anak melebihi usia dua tahun) juga kata mereka menyebabkan payu dara cepat mengendur, sekali gus menjejaskan penampilan.

Sejauh mana fahaman mereka dalam hal itu, saya percaya semua disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dan sokongan daripada orang sekeliling.

Apa yang pasti, menyusu sememangnya mempunyai banyak manfaat kepada ibu dan bayi sama ada dari segi kecantikan, kesihatan, mental serta emosi.

Payu dara kendur?

“Pandangan itu tidak benar sama sekali,” kata Kaunselor Laktasi dari Pusat Perubatan Prince Court, Chuah Pek Chin.

Beliau yang telah lebih 30 tahun terlibat dalam bidang perbidanan berkata, menyusu tiada langsung kaitan dengan payu dara kendur dan ‘mahkota’ wanita itu tetap berubah bentuknya apabila sampai masanya.

Perubahan bentuk payu dara, katanya, disebabkan rangkaian tisu-tisu pada bahagian itu lemah sejajar dengan peningkatan usia.

Malah wanita yang tidak pernah menyusukan sekali pun akan mengalami pengenduran payu dara lebih awal sekiranya mereka tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat termasuk bersenam.

Bagi Pek Chin, menyusu sebenarnya mempunyai seni tersendiri. Ibu-ibu katanya, perlu tahu cara yang betul melekap bayi ke payu dara, barulah penyusuan akan berjaya.

Ibu-ibu yang menyusu juga sebenarnya memiliki payu dara yang lebih cantik dan penuh. Pemakaian coli yang sesuai untuk menyokong payu dara yang penuh amat membantu dalam mengekalkan bentuknya.

Bagaimanapun katanya, selepas bercerai susu ibu-ibu akan mendapati payu dara mereka sedikit ‘jatuh’ daripada biasa.

“Namun beberapa bulan selepas itu, hormon akan kembali stabil dan mereka perlu melakukan senaman untuk membuatkan ia kembali kepada bentuk asal,” kata Pek Chin yang pernah berkhidmat di Eropah dan Singapura.

Tambahnya lagi, menyusu sememangnya mempunyai banyak kebaikan kepada ibu dan bayi.

Tentu sekali faktor kecantikan fizikal antara tarikan yang sepatutnya diambil berat oleh mereka yang ingin menyusukan bayi.

Menurutnya, daripada sesi bual bicara selepas bersalin yang beliau hadiri, ramai ibu mengaku menyusu membantu mereka kembali langsing secara semula jadi dengan pantas.

“Lemak-lemak berlebihan yang tersimpan dalam badan akan dibakar ketika menyusu. Bukankah ini antara bentuk senaman yang paling mudah dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ibu-ibu perlu memastikan berat badan yang ideal sepanjang mengandung iaitu tambahan hanya sekitar 11 hingga 15 kilogram. Ini amat penting dalam usaha mendapatkan bentuk badan yang diingini selepas kelahiran kelak. Pengambilan makanan yang seimbang dapat membantu, begitu juga dengan senaman.

“Menyusu dapat mengurangkan risiko obesiti jangka masa panjang,” katanya.

Bagi mengekalkan kesihatan ibu sepanjang menyusukan bayi, Pek Chin menyarankan agar mereka melakukan senaman ringkas seperti berjalan, regangan ringan dan senaman lantai sejurus badan kembali selesa (empat atau lima hari selepas bersalin).

Selepas enam hingga lapan minggu, mereka sudah boleh melakukan senaman berat seperti aerobik.

Tiada pemakanan khas diperlukan oleh ibu dalam menjayakan sesi penyusuan mereka. Yang paling utama adalah pengambilan makanan berkhasiat dan lengkap dengan pelbagai vitamin.

“Jika seorang dewasa memerlukan 2000 kcal setiap hari, ibu mengandung pula memerlukan tambahan antara 300 hingga 500 kcal lagi,” kata beliau.

Menurutnya, sebanyak 700 hingga 800 kcal diperlukan untuk pengeluaran susu yang mana 500 kcal diperolehi daripada diet harian. Manakala 250 hingga 300 kcal lagi daripada penyimpanan lemak dalam badan.

Bagi ibu yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan pula katanya, mereka tidak memerlukan kalori tambahan.

Pengambilan air yang mencukupi amat penting dalam penghasilan susu. Bagaimanapun kata beliau, meminum susu tidak bererti memperbanyakkan susu badan. Yang paling utama adalah pengambilan cecair bagi menggantikan air yang hilang melalui penyusuan.

“Ibu menyusu perlu mengambil banyak sayur segar, produk tenusu rendah lemak, daging merah dan juga protein,” katanya.

Pengambilan kafein pula katanya perlu dihadkan antara satu atau dua cawan saja sehari, itu pun selepas menyusukan bayi. Jika tidak, bayi akan meragam dan tidak selesa.

Mengenai pengambilan suplemen pula, Pek Chin berkata sebenarnya ia tidak perlu jika kita mengambil makanan yang berkhasiat. Namun, ibu-ibu boleh meneruskan pengambilan suplemen yang dipreskrip doktor atau juga mencuba petua bergantung kepada keselesaan mereka.

“Walaupun begitu, vitamin B6 diketahui mampu meningkatkan pengeluaran susu,” jelasnya.
Bagi ibu yang mengamalkan vegetarian pula, mereka mungkin mengalami kekurangan vitamin B12 yang terkandung dalam protein haiwan. Oleh itu, mereka perlu mengambil suplemen tambahan mengikut panduan yang diberikan pakar.